Tuesday, May 7, 2013

menteri besar perlis

KANGAR, 7 Mei — Anggota Dewan
Undangan Negeri kawasan Pauh Azlan Man
hari ini mengangkat sumpah sebagai
Menteri Besar Perlis yang baharu di Istana
Arau di sini.
Azlan, 55, yang merupakan menteri besar
Perlis ketujuh selepas merdeka, melafazkan
sumpah memegang jawatan itu di hadapan
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra
Jamalullail.
Turut berangkat pada majlis itu Raja Muda
Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra
Jamalullail. Hadir sama bekas Menteri Besar
Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, Setiausaha
Kerajaan Negeri Perlis Datuk Azizan Hamid
dan Ketua Polis Perlis SAC Zull Aznam Haron.
Azlan yang merupakan bekas timbalan ketua
pengarah Biro Pengaduan Awam
memenangi kerusi dewan undangan negeri
Pauh pada pilihan raya umum ke-13 selepas
menewaskan Ketua Dewan Ulama PAS Idris
Yaacob dengan majoriti 1,382 undi.
Berkelulusan Sarjana Ekonomi Antarabangsa
dari Universiti of Denver, Amerika Syarikat,
Azlan memulakan tugas sebagai Pegawai
Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada 1983 dan
pernah menjadi Konsul Malaysia di Toronto,
Kanada pada 1985 dan Ketua Penolong
Setiausaha di Kementerian Luar pada 1992.
Beliau juga pernah menjadi Kaunselor Misi
Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-
bangsa Bersatu di Amerika Syarikat pada
1999.
Pada 2003, anak kelahiran Arau itu menjadi
setiausaha bahagian Afrika dan Sahara
Selatan di Kementerian Luar dan pada 2011
memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua
Pengarah BPA sehingga bersara untuk
bertanding pada pilihan raya umum ke-13. –
Bernama

No comments: