Monday, March 11, 2013

tawaran biasiswa dari kerajaan jepun

KUALA LUMPUR: Kerajaan Jepun
mempelawa rakyat Malaysia memohon
biasiswa bagi mengikuti pengajian di
peringkat ijazah dan lepasan ijazah di
negara itu bagi tahun akademik 2014.
Dalam kenyataan pada Isnin, kedutaan
Jepun berkata biasiswa Monbukagakusho
bagi pengajian di peringkat ijazah terbuka
kepada mereka yang telah menduduki
peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
atau O-Level serta telah mengikuti
sekurang-kurangnya 11 tahun pendidikan
formal, dan mereka yang telah
menamatkan pengajian di peringkat Sijil
Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), UEC,
Matrikulasi atau Diploma.
Pemohon mestilah berumur antara 17 dan
22 tahun pada 1 April 2014 serta
menguasai bahasa Inggeris dengan baik,
kata kenyataan itu.
Mereka yang layak akan diberi 117,000 yen
(kira-kira RM3,900) sebagai elaun bulanan
dan permohonan mestilah sampai ke
kedutaan itu sebelum pukul 4 petang pada
17 Mei.
Bagi pengajian di peringkat lepasan ijazah
pula, pemohon mestilah berumur bawah
35 tahun pada 1 April 2014, memiliki ijazah
sarjana muda atau sarjana dengan
mendapat sekurang-kurangnya 3.4 CGPA,
dan pelajar peringkat ijazah sarjana muda
yang sedang menuntut pada tahun akhir di
universiti, kata kenyataan itu.
Penjawat awam juga layak memohon,
tetapi permohonan mestilah dibuat melalui
Jabatan Perkhidmatan Awam dengan
melayari www.jpa.gov.my atau
menghubungi jabatan itu melalui nombor
03-8885 3555 atau 03-8885 3519.
Pelajar peringkat lepasan ijazah akan diberi
143,000 yen (kira-kira RM4,700)sebagai
elaun bulanan dan tempoh akhir
permohonan bagi bukan penjawat awam
ialah sebelum 4 petang pada 12 April,
manakala bagi penjawat awam pada 5
April.
Kenyataan itu berkata pemohon yang
berjaya akan dikecualikan daripada
membayar yuran peperiksaan, matrikulasi
serta tuisyen dan diberi tiket penerbangan
pergi dan balik.
Maklumat lanjut boleh didapati dengan
melayari laman web www.my.emb-
japan.go.jp atau menghubungi kedutaan
Jepun melalui talian 03-2177 2600
(sambungan 146 bagi pengajian di
peringkat ijazah dan sambungan 157 bagi
pengajian di peringkat lepasan ijazah).
BERNAMA

No comments: