Friday, December 23, 2011

Senarai pemain import beraksi di Liga Super dan Liga Perdana

KUALA LUMPUR, (Bernama) - Jawatankuasa
Pemeriksaan, Pemantauan dan Ketelusan
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah
meluluskan seramai 26 pemain import bagi
mewarnai arena bola sepak Malaysia
menjelang musim depan.
Menurut FAM dalam satu kenyataan,
jawatankuasa yang bermesyuarat hari ini
telah menimbangkan permohonan 35
pemain import dari persatuan dan kelab-
kelab yang beraksi di dalam Liga Super dan
Liga Perdana.
Keputusan untuk memberi kelulusan kepada
26 pemain itu dibuat berdasarkan kepada
syarat-syarat yang ditetapkan oleh
Persekutuan Bola sepak Antarabangsa
(FIFA).
"Daripada jumlah tersebut, 26 pemain telah
diluluskan, termasuk empat diluluskan
bersyarat sehingga sijil ITC (International
Transfer Certificate) diterima," menurut
kenyataan itu.
Syarat itu menetapkan bahawa status
pemain ditentukan oleh kelab terakhir yang
disertai, misalnya jika dari Amerika Latin dan
Eropah, pemain mestilah dari Divisyen 2 ke
atas, manakala bagi negara Asia, pemain
mestilah dari Divisyen 1 dan ke atas.
Antara pemain yang mendapat kelulusan
FAM untuk beraksi dalam Liga Super dan
Liga Perdana adalah Marlon James dan
Bruno Sebastian Martelotto dari Angkatan
Tentera Malaysia (ATM), Esseh Sodjine
Sougan Adah (Johor), Danilo Rafael Dos
Santos Vivaldo (Kedah), Mohamad Ghaddar,
Dennis Agayare dan Emmanuel Ayaah Okine
(Kelantan) dan Ramez Dayoub (Selangor).
Sementara itu, empat pemain -- Daniel
Soares Neves (Kedah), Mbele Lelo (Selangor),
Evans Chusilo (MP Muar) dan Christian Contes
(Perlis) -- diluluskan secara bersyarat.
Bagaimanapun, permohonan pemain
Terengganu, Tercio Nunes Machado dan
Oladimeji Mathew Talabi dari pasukan kelab
Negeri Sembilan, Betaria FC, yang juga
pendatang baru dalam Liga Perdana, telah
ditarik balik.
Jawatankuasa itu juga membuat keputusan
tidak meluluskan permohonan tujuh pemain
atas sebab-sebab tidak memenuhi syarat-
syarat FAM yang mengikuti piawaian
Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Mereka ialah Richard Offiong (Johor), Tito
Fernando Da Silva Pinto dan Tiago Lima Leal
(Johor FC), Bianchi Parades Santiago (Felda
United), Marquen Nuquen Goncalves (Negeri
Sembilan), Sergey Ivanov (Pahang) dan Helmi
Loussaief (Selangor PKNS).

No comments: