Sunday, July 3, 2011

Titah Khas Yang di- Pertuan Agong mengenai Bersih 2.0

Titah Khas Yang di-
Pertuan Agong
mengenai Bersih 2.0
3 JULAI — Beta sedang
mengikuti dengan teliti akan
perkembangan cadangan
Kumpulan Bersih untuk
mengadakan perarakan dan
perhimpunan beramai-ramai
yang bertujuan untuk
menyerahkan memorandum
kepada Beta selaku Yang di-
Pertuan Agong, dan bagaimana
pihak kerajaan menangani isu ini
khususnya agensi-agensi dan
jabatan-jabatan yang terlibat.
Namun Beta yakin kepimpinan
negara di bawah Yang Amat
Berhormat Datuk Seri Mohd Najib
Tun Haji Abdul Razak
berkemampuan untuk
menangani masalah ini dengan
sebaik mungkin.
Beta menyeru di dalam
keghairahan sebahagian rakyat
berpolitik bagi menyuburkan
demokrasi dalam negara kita ini
hendaklah dipastikan juga
bahawa tuntutan demokrasi itu
tidak akan membawa
kemusnahan kepada negara.
Kita tidak boleh terlalu terikut-
ikut dengan amalan-amalan
negara-negara luar secara
umumnya kerana keharmonian
dan kestabilan negara adalah
asas penting bagi sesebuah
negara yang perlu semua pihak
pertahankan.
Beta juga menyeru kepada pihak
kerajaan agar melaksanakan
segala amanah yang diberikan
kepada rakyat secara adil dan
bijaksana dan yang pentingnya
Beta selaku Yang di-Pertuan
Agong tidak mahu melihat dalam
negara bermasyarakat majmuk
ini berada di dalam keadaan
bermusuhan sesama sendiri
ataupun sebahagian rakyatnya
bermusuh dengan kerajaan atas
apa jua alasan pun.
Setiap permasalahan yang timbul,
kita sebagai masyarakat
bertamadun hendaklah
menyelesaikan secara rundingan
dan tidak mengikut perasaan
seperti pepatah Melayu "Yang
Dikejar Tak Dapat Yang
Dikendong Berciciran".
Hakikatnya demonstrasi jalanan
banyak membawa keburukan
daripada kebaikan walaupun
niat asalnya baik.
Sebaliknya kita harus
menumpukan kepada matlamat
utama memajukan negara,
bukannya mencipta masalah
yang membuat negara berada
terkebelakang. Ingatlah bumi
mana yang tidak ditimpa hujan,
lautan mana yang tidak
bergelora.
Itulah pentingnya sifat
kesederhanan dan tolak ansur
yang telah begitu lama diamalkan
oleh warisan pentadbiran
negara.

* Ini adalah teks penuh Titah
Khas Yang di-Pertuan Agong
Tuanku Mizan Zainal Abidin yang
dikeluarkan oleh Istana Negara
hari ini

No comments: