Wednesday, May 28, 2014

SRIKANDI PERLIS DI SUKMA 17

NOORMasayu Zahir Mozni muncul penyumbang pingat emas pertama kepada
kontinjen tuan rumah, Perlis bagi acara petanque pada temasya Sukan
Malaysia (Sukma) ke-17 hari ini.
Pada final di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra di sini, Noor Masayu
meraih emas dalam kategori shooting wanita menewaskan pencabar
terdekatnya Sharifah Aqilah Farhana Syed Ali dari Terengganu dengan
mata 22-10.
Pingat gangsa menjadi milik Nurul Atiqah Abu Talib dari Negeri
Sembilan selepas mengalahkan Nur Syafiqah Abdul Razab dari Perak,
23-6.
Noor Masayu, 21, menyifatkan kemenangan beliau itu adalah hadiah
paling bermakna kerana meraih pingat emas buat pertama kali di Sukma
pada penampilan terakhirnya.
"Memang saya target untuk mendapat pingat emas lebih-lebih lagi
beraksi di tempat sendiri. Dalam tiga penyertaan Sukma sebelum ini
saya tidak mendapat sebarang pingat.
"Semangat dan berlatih bersungguh-sungguh membuatkan saya lebih yakin
pada perlawanan hari ini. Lagipun ini merupakan penyertaan terakhir
saya di Sukma, jadi saya memang main bermati-matian hari ini,"
katanya kepada pemberita.
Dalam pada itu bagi acara kategori shooting lelaki, Ezri Hafizurahman
Razali dari Sarawak meraih pingat emas selepas menewaskan Mohd Adri
Abdul Jalil dari Terengganu dengan mata 27-24.
Pingat gangsa diraih oleh Shakirin Syed Abd Kadir dari Johor yang
mengalahkan Mohamad Zarol Islah Rashid dari Perak dengan mata 30-19.
- Bernama

No comments: