Sunday, December 23, 2012

4 beranak rentung dalam kemalangan maut di terengganu

Empat beranak rentung dalam kemalangan
ngeri
Bernama | 12:48PM Dis 23 2012
Empat beranak rentung setelah kereta yang
mereka naiki bertembung dengan sebuah
bas ekspres lalu terbakar dalam kemalangan
di Kilometer 126 Jalan Kuala Terengganu-
Kuantan dekat Institut Kemahiran Belia
Negara (IKBN), Kemasik di Kemaman awal hari
ini.
Kemalangan ngeri itu meragut nyawa
seorang guru, Mohd Sabirin Sulaiman, 50, dan
isterinya Halina Saif@Saib, 40, serta dua anak
perempuan mereka Siti Aisyah, 14, dan Siti
Khatijah, 12.
Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah
Mustapa berkata dalam kejadian kira-kira
pukul 1.30 pagi, keempat-empat beranak itu
terperangkap di dalam kereta Kia Sephia yang
mereka naiki, mengakibatkan kereta itu
terbakar dan seterusnya membakar bas
ekspres terbabit yang dinaiki lapan
penumpang.
Katanya kemalangan itu dipercayai berlaku
apabila kereta yang dinaiki keluarga terbabit
dari arah Kuantan menghala ke Dungun
dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki
laluan bertentangan dan merempuh bas
berkenaan.
Beliau berkata kereta yang dipandu Mohd
Sabirin bertembung dengan bas ekspres dari
Kota Baharu, Kelantan menuju ke Melaka
sebelum kereta itu diseret bas ekspres kira-
kira 30 meter sehingga ke kaki lima jalan.
"Pertembungan itu mengakibatkan kereta
yang dinaiki keluarga malang itu terbakar
sebelum api menyambar dan membakar
hampir keseluruhan bas ekspres," katanya
ketika ditemui di tempat kejadian.
Jamshah berkata empat beranak itu dalam
perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke
Dungun selepas menghantar anaknya
menyertai pertandingan catur.
Beliau berkata Mohd Sabirin merupakan
seorang guru bahasa Jepun dan mengajar di
Sekolah Menengah Tengku Intan Zaharah,
Dungun dan keluarga itu tinggal di Jalan Tok
Mudim, Batu 5 Dungun.
"Ketika kejadian hujan renyai-renyai dan
mungkin jalan licin menyebabkan mangsa
gagal mengawal kenderaan. Bagaimanapun
siasatan lanjut berhubung kejadian masih
dijalankan.
"Saya mengingatkan orang ramai agar
berhati-hati ketika memandu di musim hujan
ini berikutan jalan licin dan jalan berlopak. Ini
kerana dalam tempoh dua minggu ini, dua
hingga tiga kes maut dicatatkan disebabkan
faktor itu," katanya.
Mayat Mohd Sabirin yang pertama dibawa
keluar disusuli Siti Aisyah yang rentung
keseluruhan badan, diikuti Halina yang
rentung sehingga ke paras pinggang dan
yang terakhir Siti Khatijah yang rentung
keseluruhan badannya.
Sementara itu pemandu serta lapan
penumpang bas ekspres itu mengalami
cedera ringan termasuk seorang yang patah
kaki ketika cuba menyelamatkan diri sebelum
bas tersebut terbakar.
Seorang penumpang Wan Mohd Al-hakim
Wan Yusoff, 27, berkata semasa kejadian dia
baru sahaja hendak tidur selepas berbalas
khidmat pesanan ringkas bersama rakannya.
Namun tiba-tiba dia terasa bas terbabas ke
kiri jalan dan terdengar dentuman kuat serta
jeritan meminta tolong dari luar bas.
"Saya terjaga dan nampak kereta telah
melanggar bas yang saya naiki selain itu saya
turut mendengar jeritan dari luar bas namun
saya tidak berani nak tengok dan lihat api
dari depan bas.
"Masa itu hanya fikir nak selamatkan anak
saya Wan Mohd Adam Al-Haqq dan saya
mencari anak yang jatuh dari tempat duduk
dan terlihat kepulan asap di dalam bas,"
katanya.
Wan Mohd Al-hakim berkata kesemua
penumpang cuba menyelamatkan diri namun
gagal kerana pintu berkunci sebelum seorang
daripada penumpang memecahkan pintu
utama untuk membolehkan mereka keluar.
Akibat kejadian itu dia mengalami kecederaan
ringan di bahagian tangan dan punggung
manakala seorang lagi penumpang Mohd Faiz
Sulihan, 23, patah kaki kiri dan menerima
rawatan di Hospital Kemaman.

No comments: