Thursday, November 29, 2012

Pemerhati perhimpunan Umno dari bahagian padang besar perlis meninggal mengejut

Pemerhati perhimpunan Umno meninggal mengejut Seorang pemerhati Umno dari Padang Besar, Perlis tidak berkesempatan mendengar amanat Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung Umno hari ini, apabila meninggal dunia secara mengejut kerana sakit tua. Wan Othman Yaakob, 60, anggota jawatankuasa Umno bahagian Padang Besar yang berasal dari Kampung Alor Tampang, Jalan Bukit Keteri, Perlis, mengadu sesak nafas di lobi hotel penginapannya di Jalan Raja Laut pada pukul 6.30 pagi. Allahyarham kemudian dibawa ke biliknya oleh rakannya sebelum rebah dan meninggal dunia, kata jurucakap hotel itu kepada Bernama. Beliau berkata pihaknya kemudian menghubungi Hospital Kuala Lumpur yang menghantar sebuah ambulans dan pegawai perubatan mengesahkan Wan Othman telahpun meninggal dunia. Katanya Wan Othman dilaporkan sedang bersiap sedia untuk ke Pusat Dagangan Dunia Putra bagi mengikuti majlis perasmian perhimpunan itu. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad mengesahkan menerima laporan mengenai kematian Wan Othman pada pukul 7.45 pagi. Beliau berkata anggota perubatan HKL mengesahkan Wan Othman meninggal dunia akibat sakit tua, dan jenazahnya dibawa pulang ke Perlis oleh keluarganya untuk dikebumikan. Sementara itu, semasa majlis perasmian perhimpunan agung berkenaan, Pengerusi Tetap Umno Tan Sri Badruddin Amiruldin memaklumkan kepada para perwakilan mengenai kematian Wan Othman dan perwakilan ke perhimpunan itu menyedekahkan Al-Fatihah kepada roh Allahyarham. - Bernama

No comments: