Wednesday, December 14, 2011

shahidan kassim yakin boleh menang

KUALA LUMPUR, 14 Dis — Timbalan
Pengerusi Perhubungan Umno Perlis Datuk
Seri Shahidan Kassim berkata beliau adalah
seorang “winnable candidate” iaitu calon
boleh menang untuk Umno dan Barisan
Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan
datang.
Bekas Menteri Besar Perlis itu yang juga Ahli
Dewan Undangan Negeri Perlis kawasan
Tambun Tulang berkata keyakinannya itu
berdasarkan pandangan rakyat terutama di
kawasan yang diwakilinya.
“Semua rakyat tahu. Kalau tidak ada hal saya
tak akan keluar dari Perlis.
“Saya akan duduk dari pagi sampai ke
malam di kawasan saya sahaja... jumpa
rakyat dan sebagainya. Kalau macam itu
bukan ‘winnable candidate’, apa makna
sebenarnya?” katanya dipetik Bernama
Online.
Ditanya sama ada beliau bersedia untuk
bertanding semula pada pilihan raya umum
datang, Shahidan yang juga ahli Majlis
Tertinggi Umno dan Ketua Umno Bahagian
Arau, itu terserah kepada pucuk pimpinan
untuk menentukannya.
Dalam laman Facebook beliau, Shahidan
turut mengulas mengenai calon boleh
menang bagi semua kawasan di Perlis,
dengan memberi penilaian iaitu baik,
sederhana baik, buruk, terburuk kepada
mereka.
“Ada sesetengah pihak mempersoalkan
kenapa saya buat macam itu.
“Masalahnya rakyat dah bercakap (menilai)
macam itu. Bukan kita yang buat penilaian
tetapi rakyat yang membuat penilaian. Jadi
saya bagi pandangan rakyat apa yang
berlaku. Kita bercakap (mengenai winnable
candidate) tapi tak ada ciri yang jelas,”
katanya.
Shahidan berkata bahawa dalam
menyelesaikan masalah rakyat, seorang
calon boleh menang tidak akan memberi
alasan tidak ada peruntukan dan
sebagainya, sebaliknya perlu berikhtiar dan
berusaha termasuk mengeluarkan
perbelanjaan sendiri.
“Rakyat tak faham (soal peruntukan) itu.
Kalau calon boleh menang, dia perlu
berkorban. Tetapi pada masa yang sama
hakikatnya ialah bukan semua masalah
boleh diselesaikan serta merta oleh
kerajaan,” katanya.
Mengenai senario politik semasa, beliau
berkata negara tidak akan kekal aman
sekiranya kemenangan berpihak kepada
minoriti yang mahu menguasai majoriti.
Katanya penduduk Malaysia merangkumi 67
peratus kaum Melayu dan Bumiputera, 22
peratus Cina dan lapan peratus India, jadi
kemenangan wakil rakyat mesti mewakili
nisbah mengikut kaum untuk keharmonian
negara.
“PAS tak akan jadi pemerintah sebab dia
minoriti. Kalau nak jadi pemerintah pun DAP.
Tapi kalau dia jadi pemerintah pun,
bolehkah dia mewakili rakyat secara
keseluruhan?” kata Shahidan.
Menyentuh politik di Perlis, beliau berkata,
Umno dan BN boleh mengekalkan negeri itu
pada pilihan raya umum akan datang
dengan syarat parti dapat
memperkukuhkan perpaduan anggota dan
mempunyai jentera pilihan raya yang
berkesan.
“Kita boleh menang dengan cemerlang dan
boleh kalah dengan teruk. Isu dalaman kena
diperbetulkan. Begitu juga dengan orang
yang menyokong MCA. Tapi di peringkat
akar umbi, jentera sudah bergerak di
seluruh negeri,” katanya.
Shahidan berkata Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Razak sendiri telah menunjukkan
jalan terbaik dan memberi contoh kepada
kepimpinan peringkat bawahan supaya
bermula sekarang bagi memenangi hati
rakyat.

No comments: