Friday, January 28, 2011

Takut bini,tapi ada hajat kawin lain

KUALA LUMPUR: Bagi menutup
pernikahan kedua mereka
daripada diketahui isteri
pertama, segelintir VIP dikesan
menggunakan sindiket nikah
tidak bertauliah yang
menyediakan pakej lengkap
dengan sijil nikah kononnya
dikeluarkan Jabatan Agama Islam
Wilayah Persekutuan (Jawi).
Sindiket berkenaan yang
dipercayai bergerak aktif sejak
tahun lalu cuma mengenakan
bayaran RM3,000 dan ia
dikatakan mendapat sambutan
hangat di kalangan orang
kenamaan yang ingin
berpoligami secara diam-diam
berikutan sijil nikah palsu yang
dikeluarkan itu. Menurut sumber,
sindiket itu bijak memancing
pasangan supaya menggunakan
khidmat mereka dengan
meyakinkan pernikahan
diuruskan bukan saja sah dari
segi Islam, malah turut diperakui
Jawi dengan sijil perkahwinan
dan kad nikah dikeluarkan
sebaik proses ijab kabul selesai.
Sumber itu berkata, majlis
ringkas ijab kabul kebiasaannya
dilakukan di hotel sekitar ibu
negara dan pengantin
perempuan selalunya membawa
saudara lelaki terdekat mereka
sebagai wali.
“Khidmat disediakan sindiket itu
mendapat sambutan sebab
pengantin lelaki tidak perlu
bersusah payah melalui prosedur
berpoligami yang agak ketat di
pejabat agama atau
membelanjakan kos yang tinggi
untuk bernikah di negara jiran.
“Bagaimanapun, penipuan
sindiket itu terbongkar apabila
perkahwinan pasangan yang
menggunakan khidmat sindiket
itu tidak kekal lama dan terpaksa
bercerai, ” katanya. Menurutnya,
selepas bercerai, isteri kedua
yang dijatuhkan talak pergi ke
pejabat Jawi untuk
mengesahkan perceraian dan
ketika itulah masalah mula timbul
apabila dimaklumkan
perkahwinannya tiada dalam
rekod atau tidak pernah
didaftarkan di Jawi.
“Bila tiada dalam rekod
pendaftaran perkahwinan,
macam mana nak diuruskan atau
didaftarkan perkahwinan? Pada
masa inilah bekas isteri terbabit
berdepan masalah masalah besar
kerana dia tidak berhak
membuat tuntutan nafkah dan
sebagainya, ” kata sumber itu.
Beliau yang menguruskan pusat
aduan rumah tangga dan
menyediakan khidmat
kaunseling berkata, setakat ini
pihaknya menerima aduan
daripada lapan wanita yang
menjadi mangsa sindiket
berkenaan.
“Sekali imbas, memang sijil dan
kad nikah dikeluarkan sindiket
itu seperti tulen, tapi selepas
kami menyelidikinya betul-betul
didapati tandatangan yang
tertera di atas dokumen
berkenaan bukan tandatangan
individu yang mempunyai kuasa,
sebaliknya tidak diketahui ia
tandatangan siapa, ” katanya.
Berikutan itu, beliau meminta
pihak berkuasa kuasa khususnya
Jawi melakukan siasatan kerana
ada kemungkinan wujud
pembabitan ‘orang dalam’ yang
mempunyai kaitan dengan
sindiket berkenaan hingga
mereka mampu mengeluarkan
sijil dan kad akuan nikah yang
nampak seperti tulen.
“Tambahan pula, mengikut
aduan lapan wanita yang
menjadi mangsa sindiket itu
mereka berurusan dengan
individu yang sama dan lelaki itu
turut mendakwa dia bekerja di
Jawi, ” kata sumber berkenaan.
Sementara itu, Pegawai
Perhubungan Awam Jawi, Tuan
Asmawi Tuan Umar berkata,
orang ramai seharusnya sedar
tiada jalan pintas untuk
melakukan proses pernikahan,
apatah lagi berpoligami,
sebaliknya ia perlu melalui
prosedur ditetapkan. “Tak ada
‘pintu belakang’ kepada
sesiapapun termasuk golongan
VIP untuk mempercepatkan
proses poligami dan mahu
mendapatkan kad serta sijil
nikah. “Jika ada pihak mendakwa
mampu menyediakan cara
mudah tanpa mengikuti
prosedur, bermakna ia satu
penipuan kerana kad akuan
nikah tulen hanya boleh
dikeluarkan Jawi dan kad itu
mempunyai ciri-ciri keselamatan
tertentu, ” katanya.
Tuan Asmawi berkata, pihaknya
memandang serius masalah itu
dan akan menyiasat kes
seumpamanya sebelum tindakan
diambil.
“Kita tahu dan kenal semua
pendaftar nikah yang ada. Malah,
ada pendaftar nikah yang kita
terpaksa tamatkan perkhidmatan
disebabkan faktor disiplin.
“Sebagai contoh, ada pendaftar
nikah dibuang disebabkan terlalu
lama memerap pernikahan
dilangsungkan mereka sehingga
mempelai menanggung
kelewatan pengeluaran sijil dan
kad nikah terlalu lama, ” katanya.
Justeru, katanya, pihak yang
mahu melangsungkan poligami
dinasihatkan mengikut prosedur.

No comments: