Friday, January 21, 2011

PELAJAR UITM DI HEMPAP

Pelajar UiTM Cedera Parah
Dihempap Batu Di Bukit Broga
KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama)
-- Keghairahan seorang penuntut
Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Shah Alam menawan puncak
Bukit Broga di Semenyih,
Selangor Khamis bertukar
menjadi pengalaman pahit
setelah beliau cedera parah
akibat dihempap seketul batu
besar.
Norhanani Shahim, 22, yang
menyertai sekumpulan 15
penuntut universiti itu
memulakan pendakian kira-kira
pukul 8 pagi tadi dan tiba-tiba
"hilang" daripada kumpulan
ekspedisi itu.
Seorang anggota kumpulan
ekspedisi itu, Mohd Khairul Nazmi
Zubairu, 22, menemui Norhanani
dalam keadaan tertiarap di
kawasan lereng bukit Bukit A,
Bukit Broga dengan seketul batu
besar berada di atas
belakangnya selepas lebih dua
jam mencari mangsa.
Jurucakap Jabatan Pertahanan
Awam Malaysia (JPAM) ketika
dihubungi berkata Mohd Khairul
telah menghubungi JPAM Kajang,
Selangor meminta bantuan untuk
mengalihkan batu tersebut
memandangkan beliau dan
rakan-rakanya tidak berdaya
mengangkat batu itu.
Sepasukan penyelamat JPAM,
bomba dan dua pembantu
perubatan dari Hospital Kajang
tiba di lokasi kejadian kira-kira
pukul 11 pagi dan berjaya
mengangkat batu itu dari badan
mangsa.
Jurucakap JPAM itu berkata
Norhanani yang berkeadaan
lemah ketika ditemui
memberitahu rakannya bahawa
beliau telah terjatuh sebelum
batu menghempap belakang
badannya.
Mangsa yang dipercayai cedera
serius di bahagian tulang
belakangnya akibat insiden itu
kini dirawat di Hospital Kajang.
-- BERNAMA

No comments: